Saturday 16 January 2010

UPDATE : PROJEK PUSAT LATIHAN ASNAF, ULU YAM

Terkini, update untuk Pembinaan Pusat Latihan Asnaf Zakat, Ulu Yam...

Kerja-kerja pembinaan sedang rancak dijalankan. Mesyuarat Tapak Kali ke 5 telah diadakan pada 14 Januari 2009. Saya yang hadir, walaupun kehadiran saya ialah sebagai Superintending Officer (S.O) ,kebiasaannya saya biarkan sahaja Kontraktor Reka dan Bina yang mempengerusikan Mesyuarat. Pengerusi Mesyuarat ialah Karta Miharja Salleh, Jurutera daripada Mais Corporation Sdn. Bhd. Inilah peluangnya saya melihat dia menjadi pengerusi di dalam Mesyuarat kerana seblum ini, semasa dia di bawah saya, saya yang terpaksa mempengerusikan mesyuarat walaupun mesyuarat tersebut diadakan di bawah programnya..

Berbalik kepada kisah Pembinaan Pusat Latihan Asnaf Zakat, Ulu Yam. Projek ini pada asalnya adalah di bawah pemantauan Majlis Agama Islam Selangor, Urusetia ialah Bahagian Pembangunan Hartanah, MAIS (BPH-MAIS). Walau bagaimanapun, apabila Bahagian Pengurusan Hartanah, LZS (BPH-LZS) diwujudkan ekoran komen audit yang menyatakan keperluan LZS mempunyai bahagian teknikalnya sendiri maka, Projek ini turut diserapkan untuk di ambil alih oleh pihak BPH LZS sepenuhnya.

Penglibatan saya dalam projek ini?

Ketika kertas cadangan mengenai keperluan dikeluarkan oleh pihak LZS dan MAIS, ketika itu, MAIS telah mengerahkan MAIS Construction & Properties Sdn. Bhd (Anak Syarikat MAIS juga) untuk membuat cadangan pelan dan sebagainya. Saya ketika itu menjawat jawatan sebagai Head of Company of MAIS Construction & Properties dengan taraf jawatan sebagai Penolong Pengurus. Saya terlibat di dalam penghasilan Pelan Rekabentuk Awalan dan peringkat untuk mendapatkan Kelulusan Mesyuarat Jawatankuasa Pelaburan MAIS berkenaan kelulusan kos dan pelan konsep yang disediakan. Seterusnya, dan selepas itu, tindakan Planning Approval dan Building Plan Approval saya tinggalkan kepada mana yang ada di syarikat tersebut kerana telah mendapat tawaran bekerja di BPH LZS.

Penglibatan saya terhadap projek ini terputus seketika melainkan hanya membuat pengesahan dan proses pembayaran sepertimana yang telah disemak oleh Ketua Unit Hartanah. Penglibatan secara jelas dengan aktiviti-aktiviti dan pengurusan projek ini, saya tidak masuk campur kerana ketika itu, S.O kepada projek ini ialah BPH MAIS sendiri. Namun, jodoh saya dengan projek ini berpanjangan apabila kemudiannya Mesyuarat MAIS telah memutuskan bahawa projek-projek pembangunan di bawah beberapa kelompok Asnaf diambil oleh BPH LZS. Projek ini lah salah satunya. Maka saya bergerak kembali menjalankan fungsi bahagian sebagai mewakili Pengurus Besar LZS sebagai S.O kepada projek ini.

Sehingga kini, projek ini telah pun menjalankan aktiviti-aktiviti di tapak dengan kemajuan purata ialah 8 hari lebih awal daripada yang dijadualkan
.





Apakah Pusat Latihan Asnaf Zakat,


Pusat Latihan Asnaf Zakat adalah salah satu produk LZS dalam menjalankan latihan-latihan yang bersesuaian kepada golongan yang telah didaftarkan sebagai asnaf. Bimbingan dan latihan adalah pelbagai sebagaimana modul-modul yang telah dihasilkan oleh Akademi Zakat Selangor (AZAS) yang kini diterajui oleh Dr. Ruziah. Dr. Ruziah sememangnya orang yang berpengalaman dalam bab-bab motivasi, bimbingan, kursus dan latihan-latihan dimana beberapa modul yang diperkenalkan oleh pihaknya mendapat perhatian ramai. Sekarang ini, AZAS telah beroperasi di Seksyen 3, Wisma MAIS sejak beberapa tahun yang lalu. Penyiapan Projek Pusat Latihan Asdnaf Ulu Yam ini bakal membantu AZAS dalam usahanya untuk membuat pelbagai aktiviti ilmiah dan perkembangan kendiri asnaf, serta kursus-kursus yang melibatkan keusahawanan di kalangan asnaf ini. Inilah yang dikatakan sebagai konsep bantuan yang diberikan oleh LZS kepada golongan fakir miskin, iaitu bukan saja hanya memberi ikan, tetapi memberi pancingnya sekali untuk mengail ikan.






Insya Allah akhir 2011, Pusat Latihan ini akan mula beroperasi..

No comments:

Post a Comment